Thursday, March 25, 2010

Perkahwinan - Perjalanan Kehidupan

BismiLlah walhamduliLlah.

Ramai yang bujang mahu berkahwin. Malah, ramai juga yang dah berkahwin dan mahu kahwin lagi...bak kata Allahyarham P.Ramlee dalam cerita Nujum Pak Belalang.



"Satu...banyak-banyak. Dua...sikit-sikit. Tiga...jarang-jarang. Empat...kadang-kadang".

Ha...begitulah. Memang seronok berkahwin ni. Susah kita nak jumpa orang yang tak nak berkahwin. Kalau ada pun, mungkin individu tu ada kisah tersendiri yang mungkin mempengaruhi kemampuan dia membuat keputusan.

Saya terfikir untuk berkongsi tentang perkahwinan ni bukan apa. Di pejabat, ada beberapa orang rakan yang akan melangsungkan walimah pada tahun ini. Kami gembira untuk mereka. Macam-macam pengalaman dikongsikan. Cerita orang bujang campur cerita orang dah berkeluarga. Dan tak lepas juga cerita-cerita yang tak patut huhu...

Dan hakikatnya, kebanyakan kita sekarang ini, bila bercerita bab berkahwin - asyik berbincang tentang hubungan kelamin. Seks. Malam pertama macam mana, itu ini begitu dan begini. Cuma bentuk perbincangan tu biasanya dalam suasana yang santai, suka-suka, gelak-gelak. Begitulah. Kawan-kawan pulak tu.

Cuma saya terfikir. Adakah kita sedar apa tujuan perkahwinan? Apa hikmahnya? Bagaimana perjalannya? Apa persediaan yang benar-benar diperlukan? Ternyata saya bukanlah ilmuan yang layak berbincang secara ilmiah, hanya mahu berfikir secara lebih kritikal dengan pengetahuan dan pengalaman hidup yang sedikit ini.

Suka ataupun tidak, pada pemerhatian saya, kebanyakan kita meletakkan perkahwinan sebagai satu matlamat kehidupan. Matlamat yang perlu dicapai. Namun tidak disedari, setelah tercapai matlamat itu, apa lagi yang seterusnya? Adakah hanya keseronokan bersama? Adakah setakat kebahagiaan berkeluarga? Adakah sekadar bernikah kemudian berjanji sehidup semati? Apa pula setelah mati bersama? Huhu...saya sendiri tak terfikir.

Macam kisah Zulaikha dan Nabi Yusuf a.s.

Semua orang tahu, Nabi Yusuf a.s. dikurniakan ALlah wajah, penampilan dan perwatakan yang amat menarik. Kacak. Tiada orang yang tidak jatuh hati padanya. Orang di luar tengok pun rasa tertarik. Apatah lagi jika duduk sebumbung.

Begitulah perasaannya Zulaikha. Isteri kepada salah seorang pembesar negara Mesir ketika itu. Kalau kita tengok Fahrin Ahmad pun seronok, apatah lagi wajah Yusuf a.s. yang memang diiktiraf daya tarikannya itu di dalam Al-Quran. Dan kisah Zulaikha menggoda Yusuf a.s. saya kira semua orang tahu.

Kehendaknya pada ketika itu atas pertimbangan nafsu. Matlamatnya hanya untuk mendapatkan Yusuf untuk bersamanya. Tiada lain sesudah itu. Dipanggil kawan-kawan wanita sebangsawan sehingga terkerat jari pun, hanya untuk membela 'nafsu'. Bukan membetulkan iman. Sehingga dipenjarakan Yusuf a.s. untuk memulihkan keadaan.

Baik. Berbalik kepada zaman kita. Jika kebanyakan pasangan yang hendak berkahwin mahupun yang telah berkahwin mempunyai kefahaman seperti ini, maka punahlah institusi kekeluargaan yang mulia. Punahnya bukan ranap tiba-tiba tetapi umpama kayu dimakan anai-anai. Kita boleh lihat kesannya sekarang. Penceraian, buang anak, zina...masya ALlah. Fitnah dan ujian akhir zaman.

Dalam kehidupan kita yang sementara ini, matlamat akhirnya haruslah untuk bertemu ALlah di dalam syurga. Hm...nampak sungguh jauh dan ideal. Tapi begitulah ALlah menerusi Al-Quran dan tunjuk ajar Rasul-Nya mendidik kita. Perlu dihayati dan disebatikan di dalam diri kita.

Jadi, setelah jelas matlamatnya, haruslah didokong oleh perancangan yang baik. Umpama kita menjalankan perniagaan. Antara matlamatnya adalah keuntungan dan berkongsi keuntungan - dengan pemegang saham, majikan dan juga pekerja.

Katalah sasarannya RM50 juta. Maka para pengurus pun merancang strategi dan ditetapkan parameter-parameter tertentu bagi memgukur pencapaian. Ditentukan bidang-bidang keutamaan, penyusunan tugas, produk dan sebagainya. Dibuat pelan perlaksanaan dan semua orang kemudiannya bekerja bersungguh-sungguh ke arah matlamat tersebut. Satu demi satu tugas dilaksanakan. Satu demi satu kayu ukur dicapai. Setiap pencapaian dikira dan diberi imbuhan. Bercuti, naik gaji, dapat komisen dan sebagainya.

Maka perumpaan itu boleh diaplikasikan dalam kehidupan. Matlamatnya untuk bertemu ALlah di dalam syurga. Platformnya dunia. Modalnya Al-Quran dan sunnah yang dikembangkan dalam bentuk ilmu dan kemahiran yang pelbagai. Kayu ukurnya adalah peringkat-peringkat kehidupan.

Untuk saya, perkahwinan ini adalah salah satu proses dalam perjalanan kita menuju ALlah. Bagaimana kita menjayakan perkahwinan - melalui pernikahan, seterusnya bimbingan untuk suami dan isteri, mendidik anak-anak, memimpin dan mengurus keluarga serta pelbagai lagi - adalah pelan perlaksanaan yang mungkin kemudian diukur melalui pencapaian kewangan keluarga, tahap pendidikan anak-anak dan sebagainya.

Apa pula imbuhannya? Imbuhannya selain material, yang paling penting adalah mahabbah, mawaddah wa rahmah. Itulah yang paling membahagiakan. Hadiah dari Tuhan.

Hm...dan begitulah ALlah memberikan hidayah kepada Zulaikha yang kemudiannya menikahi Yusuf a.s. Sesudah itu, matlamat kehidupannya menjadi begitu jelas. Hingga tatkala Nabi Yusuf a.s. memanggilnya untuk berehat bersama, dia berkata dengan sopan:

"Tidak lagi mahu aku habiskan dunia untuk kegembiraan nafsuku semata-mata"...

Sungguhpun di hadapannya itu adalah tetap Nabi Yusuf a.s. yang sama seperti sebelumnya...



Moga ALlah ampunkan saya, isteri dan keluarga. Ameen ya Rabbal Alameen.

Sunday, March 14, 2010

Inspirasi Perjuangan

BismiLlah walhamduliLlah.

Teringat sebuah lagu nasyid yang menjadi inspirasi kepada para pejuang Islam. Pernah saya dan rakan-rakan persembahkan semasa di universiti dahulu dalam pertandingan nasyid peringkat kolej - Malam Gema Mujahidin. Tapi, niat kami bukan untuk bertanding cuma ingin sama mempromosikan hiburan bentuk Islam.

Saya mula dengar lagu ini semasa zaman Nadamurni. Tiada suara atau video. Hanya lirik untuk penghayatan kita bersama.





Sunnah Berjuang

Berjuang menempah susah
Menanggung derita menongkah fitnah
Itulah gelombang hidup samudera duka
Seorang mujahid memburu syahid...

Dibuang dia berkelana
Dipenjara dia uzlah dibunuh syahid
Namun jiwa tetap mara menuju cita
Membara demi ALlah dan Rasul-Nya...

Berjuang tak pernah senang
Ombak derita tiada henti
Tenang...tegang silih berganti
Inilah sunnah...
Orang berjuang...

Malamnya bagai rahib merintih sayu
Dihiris dosa air mata
Siangnya bagaikan singa di rimba
Mengerah keringat meluah tenaga...

Berjuang memang pahit
Kerana syurga itu manis
Bukan sedikit mahar yang perlu dibayar
Bukan sedikit pedih yang ditanggung...

Ulang rangkap 1 - 4

Berjuang ertinya terkorban
Rela terhina kerna kebenaran
Antara duanya pasti terjadi
Itulah SYAHID...atau MENANG