Thursday, November 27, 2008

Minggu Yang Padat

Bismillah Walhamdulillah.

Tajuk umpama mengeluh tetapi sebenarnya tidak. Sebenarnya saya mencabar diri sendiri.

Memang minggu ini agak sibuk - terutama dengan tuntutan kerja. Keperluan menyiapkan pelan bisnes untuk produk yang dipertanggungjawabkan menjadi keutamaan. Hasilnya perlu dibentang 1 Disember depan. Sungguh mencabar!

Setelah 4 tahun bekerja di syarikat Utas Maju ini, telah banyak yang saya belajar mengenai perniagaan. Bermula sebagai Eksekutif Jualan yang sangat mentah (sampai termuntah nak cari sales), pada masa yang sama terlibat sebagai Application Specialist sehinggalah sekarang saya diberi peranan sebagai Eksekutif Produk (Pemasaran), saya membesar dalam perniagaan seiring dengan perkembangan syarikat.

Pada tahun 2004, jumlah jualan tahunan (total revenue) hanyalah sekitar RM7 juta, meningkat saban tahun sehinggalah pada tahun ini kami menghampiri sasaran RM15 juta. Ketinggalan lebih kurang RM2 juta InsyaALlah, pasukan yang ada bertekad mengejarnya!

Sebesar jumlah jualan yang dikejar, begitulah ilmu perniagaan yang saya pelajari. Bukan teori tapi pengalaman. Itulah yang sangat berharga. Dalam sesetengah keadaan, itulah yang lebih berharga. Macam dalam siri The Apprentice, Street Smart berjaya memenangi cabaran sang Book Smart.

Saya telah membina minat dalam bidang ini. Saya telah membulatkan tekad untuk terus menceburkan diri dalam bidang perniagaan. Sekarang saya masih bekerja dengan orang tetapi saya perlu memberi masa kepada diri. Bukan kerana berfikiran seperti employee, tetapi masih banyak perkara yang perlu dipelajari. Bagi saya, banyak aspek dalam realiti kehidupan dicerminkan dalam perniagaan.

Hidup adalah perniagaan, perniagaan adalah hidup.

Dalam hal ini, bukan harta menjadi matlamat mutlak. Ini kerana 3 aspek perlu diperkemaskan untuk berjaya dalam apa jua perkara dalam kehidupan kita. Apakah dia?

ASK.

A
ttitude, Skills, Knowledge.

Buatlah apa sahaja. 3 aspek ini menjadi asas kepada setiap individu - sama ada berfungsi secara perseorangan ataupun mahu dikolektifkan dalam organisasi - untuk berjaya. Komponen ini hendaklah sentiasa disemak dan dipertingkatkan. Dan saya menggunakan peluang dalam kerjaya saya untuk bersebati dengan ASK yang mantap.

Jadi, presentasi saya pada minggu hadapan bukanlah semata-mata kerana presentasi. Saya meletakkan kesungguhan untuk merancang sebaik mungkin kerana inilah peluang saya merencana perniagaan saya. Presentasi yang menjadi refleks kepada pengalaman selama 4 tahun. Presentasi yang akan mengukur sejauh mana saya ASKing diri saya.

Biar pening dan susah sekarang, asalkan pelaksanaan sepanjang tahun 2009 dapat dilakukan dengan teratur. Lebih penting, mencapai matlamat KEJAYAAN!

To myself: I give myself time to grow in this business - another 5 years. InsyaALlah, new successful entreprenuer will be born...this time, on his own.

p/s: Credit to my mentor En. Adnan (pemilik Utas Maju), Abg. Mirul for his spirit, Haiqal for his determination.

Friday, November 14, 2008

Harapan Menggunung Tinggi

Bismillah Walhamdulillah.

Esok, kami akan mengadakan mesyuarat pertama untuk ahli jawatankuasa baru Alumni IPUKL sesi 2008-2010. Tak tahu apa yang hendak dijangkakan. Walaubagaimanapun, beberapa agenda telah digariskan.

Bercerita mengenai alumni. Apa sebenarnya alumni?

Banyak sudah contoh yang ada, pelbagai nama, pelbagai matlamat dan fungsi. Alumni merupakan bekas pelajar di pelbagai peringkat. Sekolah, maktab, kolej, universiti dan sebagainya. Ada yang di'organisasi'kan, ada yang tidak.

Antara contoh yang baik adalah seperti Malay College Old Boys Association (MCOBA), Sekolah Datuk Abdul Rahman Alumni (SDARA), ANSARA, Jaringan Siswazah Malaysia (JASA), PAPISMA dan macam-macam lagi. Di UKMKL, telah ditubuhkan secara rasmi bermula 4 tahun yang lepas Persatuan Alumni IPUKL.

Secara umum, setiap pertubuhan alumni mempunyai matlamat yang sama - mengekalkan hubungan ahli setelah habis belajar - baik untuk meluaskan 'networking' mahupun tujuan khusus yang lain. Sebagai contoh bagi tujuan ekonomi, kebajikan ahli serta masyarakat dan juga sebagai platform keperluan kepada pertubuhan lain yang menjadi payung utama.

Sebagai ahli alumni IPUKL, apa pula matlamat khusus persatuan ini? Adakah sekadar menjadi penganjur kepada hari keluarga (itupun banyak kali tak jadi) atau matlamat lain yang lebih besar?

Untuk makluman, kepimpinan sesi 2006-2008 telahpun menggariskan visi serta misi yang saya kira cukup jelas. Impian untuk menjadi sebuah pertubuhan NGO profesional yang berwala'kan jamaah PAS perlu dikembangkan dalam pelan pelaksanaan yang cukup teliti. Prinsip perancangan adalah SMART - Specific, Measurable, Achievable, Realistic and Time frame.

Inilah yang perlu difikir serta mula dilaksanakan pada sesi ini. Pada pendapat saya, 2 sesi yang mendatang adalah tempoh bagi memperkukuh persatuan dan mengembangkan operasi.

Saya optimis dengan keahlian yang ramai beserta jumlah pendokong yang bertambah, insyaALlah kita akan mampu menukar impian kepada matlamat.

"Goal is the dream with dateline".

Sanggupkah kita? Tiada pilihan, kena sanggup juga.

Thursday, November 6, 2008

So Long...

Bismillah walhamdulillah.

Muktamar Alumni IPUKL 2008 telahpun berlangsung pada 25 Oktober 2008 yang lalu. Setinggi-tinggi syukur dan penghargaan kepada ALlah 'azzawajalla. Dengan izin kurnianya, diberi kekuatan kepada AJK Muktamar (pack leader Sheikh Saiful Azlan) dan muktamirin ahli-ahli IPUKL kesluruhannya.

Saya tidak dapat berada sepenuhnya pada majlis tersebut. Jam 11.30 saya terpaksa beredar kerana mengejarkan bas pulang ke Mersing. Ada kenduri kahwin kakak ipar.

Balik dengan menanggung tanggungjawab yang amat besar dan berat untuk dipikul. Amanah selaku Presiden Alumni sesi 2008-2010 bukanlah tugas yang kecil. Mujurlah saya mempunyai barisan kepimpinan yang berkarisma dan komited insyaALlah - keseimbangan antara pengalaman dan semangat tenaga muda - yang diharapkan dapat membawa Alumni IPUKL menemui halatuju yang lebih besar, jelas dan terlaksana.

Pasca muktamar juga menyaksikan begitu banyak respons yang diterima berkenaan usul oleh saudara Syamsa (Timbalan Presiden akhirnya...) di dalam perbincangan Yahoogroup. Seronok juga membacanya. Sekali lagi, buah fikiran ahli-ahli yang mantap daripada Generasi 1 hinggalah Generasi 7 dicabar. Proses yang sangat baik bagi kematangan individu serta kematangan organisasi.

Ramai yang tak bersetuju. Saya pun secara peribadi berat untuk tidak bersetuju. Tetapi itu hanya jika kita berjaya menetapkan halatuju yang jelas, disusuli perancangan yang rapi bagi mencapainya. Jika tidak, lebih baik kita gembelengkan tenaga kita bersama-sama platform jamaah lain yang sedia ada (PAPISMA dan JASA).

Sering dilihat pertimbangan untuk tidak bersetuju kerana perbezaan dalam beberapa perkara. TETAPI jangan lupa persamaan kita dengan PAPISMA serta JASA dalam banyak perkara. Termasuk pada perkara paling dasar iaitu matlamat akhir. Kita bincang kemudian.

Berfikir perlu rasional. Asas keputusan hendaklah tepat. Berseorangan kurang baik. Keputusan kumulatif lebih cenderung kepada kebaikan insyaALlah. Jangan langsung tiada keputusan. Biar ada walaupun salah. Sekurang-kurangnya ijtihad kita bersama memberi kita satu pahala.